MASJID TEMPAT BERIBADAH

Masjid Sebagai Tempat Menunaikan Ibadah 



Pengenalan
Masjid berasal daripada kata nama (سجد) bermaksud sujud. Manakala makna masjid dari sudut istilah pula ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. 
   Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid, hlm. 28) 
Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: 
Masjid mengikut definisi terdahulu adalah sifat yang musytaq untuk tempat sujud dan ibadat serta mempunyai pelbagai nama.


Peranan Masjid

Masjid sebagai rumah Allah bukanlah dibina semata-mata untuk ibadat dan solat tetapi merangkumi pelbagai ibadah. 
Antaranya adalah :
  • Masjid berperanan sebagai tempat pembinaan ruhiyyah.
  • Masjid berperanan sebagai tempat memarakkan sosial masyarakat.
  • Masjid sebagai tempat pengajaran dan latihan.
  • Masjid sebagai tempat meleraikan kusut kehidupan seperti qadha’ dan lain-lain.
  • Masjid sebagai tempat mengatur sistem politik seperti syura, bai’ah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di masjid :
  • Pendidikan untuk memantapkan modal insan seperti kelas tuisyen
  • Pembangunan sosial, komuniti, masyarakat dan ekonomi ummah.
  • Menyemarakkan semangat keusahawanan
  • Pengumpulan dana infak dan wakaf untuk membasmi kemiskinan sama ada di peringkat kampung, daerah, wilayah dan negeri.

Inilah yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya yang masyhur. 
(Lihat Mausu’ah Qadhaya Islamiyyah Mu’asirah, 1/217-219)

Kelebihan Mengimarahkan Masjid

Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah S.W.T dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda S.A.W dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.
Antara kelebihannya adalah : 
  • Mendapat keredhaan dan dirahmati oleh Allah S.W.T
  • Dapat menenangkan hati dan jiwa dengan menunaikan ibadah.
  • Disayangi dan dihormati oleh masyarakat.
  • Dapat meningkatkan ketakwaan dan keimanan terhadap Allah.

Peranan Para Jemaah dan Anak Qaryah

Anak qaryah dan para jemaah turut memainkan peranan utama untuk mengimarahkan masjid di tempat masing-masing. Hal ini boleh dilakukan dengan :
  • Menjaga kemuliaan masjid, adab dan kehormatannya
  • Menjaga hak jemaah dan para malaikat iaitu dengan menjaga kebersihan diri dan bau mulut.
  • Menginfaqkan harta dan wang ringgit untuk Tabung Masjid.
  • Menunaikan solat fardu secara berjemaah.
  • Menghadiri kelas pengajian dan program yang dianjurkan
  • Menggalakkan ahli keluarga seperti isteri dan anak-anak untuk melibatkan diri dengan aktiviti masjid seperti solat berjemaah
  • Menjaga kebersihan masjid
  • Membaiki kerosakan
  • Mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak masjid
  • Rela mempertahankan kemuliaan dan kesucian masjid.

Langkah-Langkah Menyemarakkan Masjid Bagi Golongan Muda

  • Melibatkan golongan muda dalam Ahli Jawatankuasa masjid.
  • Mewujudkan aktiviti yang mesra orang muda sama ada di masjid atau kawasan sekitarnya agar perasaan kasih kepada masjid sentiasa subur.
  • Adakan ceramah khas untuk orang muda yang menjawab isu berkaitan kehidupan yang dialami oleh mereka dan jalan penyelesaiannya. Sebagai contoh, isu cinta mengikut neraca syariat sebenar, isu membina keluarga bahagia, isu melunaskan hutang dengan sebaik mungkin dan lain-lain.
  • Wujudkan bahan bacaan di perpustakaan masjid bagi menarik golongan muda untuk ke masjid.
  • Mengadakan majlis makan atau sembang santai bersama jemaah selepas tahlil, ceramah atau solat jemaah.
  • Bina tempat yang serasi dan selesa untuk berehat dan juga kemudahan wifi yang sentiasa dipandu dan dipimpin ke arah kebaikan.
  • Letakkan di mini perpustakaan majalah-majalah semasa terutamanya berbentuk Islamik atau info, begitu juga dengan buku yang berkaitan kisah-kisah dan penceritaan yang menarik, penuh dengan iktibar serta pengajaran.
  • Wujudkan laman yang mesra masyarakat terutamanya orang muda sebagai sudut terapi yang kemungkinan adanya kolam ikan, sentiasa rapi dan bersih sifatnya, sedap mata memandang.
  • Beri insentif kepada orang muda yang melazimi masjid dan aktif dalam kemasyarakatan di bawah anjuran masjid.

Peranan Ahli Jawatan Kuasa Masjid

Para Ahli Jawatankuasa masjid boleh memain peranan lebih mengimarahkan masjid. Untuk tujuan itu, kita perlukan penambahbaikan keseluruhan organisasi masjid. 
Antaranya: 
1. Kepemimpinan masjid perlu diwakili sekurangnya-kurangnya seorang yang berkelayakan dan mempunyai idea-idea bernas yang boleh dipraktikkan. 
2. Menubuhkan Biro Pengimarahan Masjid untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan masjid. 
3. Menubuhkan Jawatankuasa Pemantau dan Penilai aktiviti pengimarahan masjid untuk mengesan kepincangan dan kelemahan seterusnya melakukan tindakan pembetulan, penambahbaikan dan tindakan pencegahan. 
4. Menyediakan prasarana, infrastruktur dan kemudahan di masjid dengan lebih menarik dan mesra jemaah untuk penggalakkan aktiviti pengimarahan masjid. 
5. Aktiviti pengimarahan masjid perlu diperbanyakkan dan lebih berfokus agar berlaku peningkatan jemaah sekali gus memeriahkan masjid. 
6. Mempelbagaikan aktiviti pengimarahan masjid untuk menarik minat para remaja, belia dan golongan muda agar mendekati masjid. 
7. Menjalin hubungan dan jaringan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun  untuk sebarang aktiviti pengimarahan masjid sama ada dari sudut pengimarahan ataupun penajaan dan penganjuran bersama. 
8. Memberi sokongan dan bekerjasama dengan pihak tertentu untuk sebarang aktiviti pengimarahan masjid.

Kesimpulan

Masjid merupakan institusi penting dalam membangunkan masyarakat. Peranan masjid merupakan agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan masyarakat.  
   Ahli jawatankuasa masjid seharusnya memainkan peranan untuk menarik minat para pemuda dan memahami apa yang diminati mereka. Antaranya dengan memperbanyakkan aktiviti yang diminati mereka seperti menganjurkan aktiviti bersukan dan riadah.  
   Selain itu pihak masjid juga boleh menyediakan infrastruktur yang menjadi keperluan umat islam dan juga anak-anak muda seperti kemudahan teknologi, pusat kemudahan riadah dan pusat pendidikan bagi menarik minat masyarakat untuk menghadiri dan mengimarah kan masjid. Begitu juga dengan menjadikan masjid sebagai hub kemasyaratan untuk rujukan dan khidmat kepada masyarakat dengan mengadakan kursus pra-perkahwinan dan kelas tambahan secara percuma.  
   Akhir kata, ibu bapa terutama bapa supaya memainkan peranan untuk membawa anak-anak dan menarik mereka ke masjid supaya jiwa mereka terisi, akhlak mereka diunggulkan serta kehidupan mereka lebih bermakna untuk menjadi orang dewasa yang benar-benar mampu menggalas tugas sebagai hamba Allah yang soleh mahupun solehah dan pada masa akan datang sebagai pemimpin yang baik.









No comments:

Post a Comment