SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM
Pengenalan
Islam merupakan agama yang paling banyak disalah fahami oleh manusia. Salah faham terhadap Islam bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam, malah sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Pelbagai tuduhan, fitnah dan anggapan yang salah dibuat terhadap Islam yang menggambarkan kesalahfahaman masyarakat terhadap Islam itu sendiri. Semua ini berlaku kerana pengenalan modenisme oleh penjajah barat ke dunia Islam. Ia juga berlaku disebabkan propaganda media barat yang menggambarkan islam keganasan, ketaksuban dan kemunduran.
Pengertian Islam
- Perkataan Islam berasal dari bahasa arab ertinya sejahtera, aman, harmoni.
- Islam dari segi istilah adalah menyerah diri kepada Pencipta yang Maha Berkuasa dengan mentauhidkannya dengan penuh kenyakinan serta melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan larangannya.
Islam Itu Sempurna
Islam ialah agama ciptaan Allah yang lengkap lagi sempurna dengan segala peraturan dan undang-undang yang merangkumi penyusunan kehidupan manusia.
Islam merangkupi beberapa aspek:
- Perseorangan
- Kekeluargaan
- Kemasyarakatan dan
- Kenegaraan
Islam menghubungkan manusia dengan Tuhan dan manusia dengan alam sejagat bagi menjamin kesejahteraan, keselamatan, kesempurnaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Situasi Islamophobia di Negara Bukan Islam
Beberapa insiden keganasan yang berlaku di dunia seringkali dikaitkan dengan umat Islam biarpun pada hakikatnya ianya dilakukan juga oleh penganut agama yang lain.
- Kejadian pembunuhan lebih 120 orang di Paris pada 14 November 2015
- Peristiwa 11 September 2001 yang telah mengorbankan kira-kira 2996 nyawa
- Pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 melibatkan kematian 191 orang
- Pengeboman di London pada 7 julai 2005 yang meragut 52 nyawa oleh pengganas yang disyaki telah memburukkan lagi imej Islam di mata masyarakat dunia.
Seiring dengan perkembangan negatif ini istilah Islamofobia telah menjadi popular dalam memberikan gambaran tentang persepsi masyarakat terhadap umat Islam dan Islam itu sendiri.
Ini juga dibuktikan dengan penerbitan beberapa filem berunsur Islamofobia seperti filem “Innocence of Muslim’ arahan Sam Becille yang secara jelas menghina Islam dan Rasulullah SAW serta menunjukkan salah fahaman terhadap Islam itu sendiri.
Mahu tidak mahu, sememangnya tidak dapat dinafikan peristiwa keruntuhan menara Pusat Perdagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 telah menjadi pencetus utama kepada fenomena Islamofobia.
Kejadian pembunuhan yang melibatkan lebih 120 orang mati di Paris pada 2015 memburukkan lagi keadaan Islamofobia masyarakat antarabangsa kepada Islam.
Peristiwa ini telah memberikan kesempatan yang meluas kepada ramai pihak terutama musuh Islam untuk terus memberikan gambaran buruk dan memberikan satu salah fahaman terhadap Islam. Bahkan telah terdapat gerakan secara teratur dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak tertentu untuk mempromosi dan menyebarkan propaganda mengenai Islamofobia kepada masyarakat dunia.
Definisi Islamofobia
Secara umumnya Islamofobia merujuk kepada rasa fobia atau kebimbangan terhadap Islam sama ada pada penganutnya, ajarannya, budayanya dan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam.
Menurut Pelapor Khas PBB, Islamofobia bermakna “suatu permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau kebencian pada orang Islam atau majoriti daripada mereka”.
Pentakrifan yang hampir sama diberikan oleh Laporan ‘Commission on British Muslims and Islamofobia’ yang menyatakan bahawa ianya merujuk kepada “dread or hatred of Islam and, therefore, to fear or dislike all or most Muslims” atau “irrational fear of Islam or anti-Muslim racism and continuation of anti-Asian and anti-Arab racism”.
Melalui pentakrifan ini, dapatlah disimpulkan bahawa Islamofobia ini merujuk kepada persepsi negatif terhadap Islam dalam bentuk diskriminasi pelbagai yang dimotivasikan oleh ketakutan dan kebimbangan terhadap Islam atau umat Islam.
Persepsi negatif yang terbina akibat fobia terhadap Islam ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek dan ini merangkumi pandangan serong terhadap undang-undang, nilai-nilai dan budaya yang dibawa oleh Islam.
Faktor-Faktor Islamofobia
Faktor Dalaman :
Faktor dalaman merujuk kepada Islamofobia yang berpunca daripada sikap, amalan, budaya, perlakuan umat Islam itu sendiri. Kelemahan dan kesilapan serta keganasan yang dilakukan segelintir umat Islam telah menyebabkan persepsi masyarakat memandang serong terhadap Islam.
Antara faktor-faktor lain adalah :
- Kelemahan dan kurang penyebaran maklumat mengenai Islam.
- Kebanyakan media dimiliki oleh orang bukan Islam dan diberikan liputan atau maklumat yang negatif.
- Tidak mempunyai maklumat yang tepat mengenai keganasan oleh gerakan agama lain yang menjadi mangsa keganasan akibat daripada Islamofobia.
- Media institusi Islam kurang efisyen dan kurang berjaya menampilkan program-program yang mampu memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Islam.
Faktor Luaran :
Penghijrahan orang Islam ke negara bukan Islam merupakan antara faktor terjadinya Islamofobia.
- Penghijrahan
- Kurang Ilmu Pengetahuan dan Pendedahan
Sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai aspek khusus untuk mendedahkan masyarakat dengan sebarang ajaran Islam. Islam akhirnya dilihat sebagai sesuatu yang menggugat gaya hidup dan ganas termasuk mempromosi ketidakadilan terutamanya apabia ianya melibatkan hak-hak wanita.
- Prejudis dan Kesan Serangan Menara Pusat Perdagangan New York
Serangan menara Pusat Perdagangan Dunia pada 11 September 2001 merupakan pencetus dan kemuncak kepada Islamofobia. Mulai dari tarikh ini, Islam telah dijenamakan dengan keganasan dan masyarakat dunia sudah mempunyai persepsi umum bahawa Islam adalah agama yang berunsurkan keganasan.
- Pengaruh Media dan Gerakan Islamofobia
Tidak dapat dinafikan bahawa media mempunyai pengaruh yang sangat kuat untuk mengubah persepsi masyarakat. Media yang dikuasai oleh pihak yang prejudis kepada Islam akan menggunakan saluran ini untuk menanamkan perasaan kebimbangan dan kebencian kepada Islam dan ditambah lagi dengan gerakan Islamofobia yang mendapat pembiayaan yang lumayan oleh pihak-pihak tertentu.
Faktor-Faktor Islamofobia di Malaysia
Malaysia merupakan negara Islam yang majoriti penduduknya adalah Islam, Islamofobia juga berlaku dikalangan masyarakat. Ini membuktikan Islamofobia ini boleh subur di mana-mana selagi mana ianya tidak diatasi dan dibendung dengan program yang berkesan.
Antara faktornya adalah :
- Media
Gambaran negatif dan salah terhadap Islam seperti liputan larangan memasuki masjid oleh bukan Islam, bantahan bukan Islam membaca ayat al-Quran di dalam perucapan umum, kes memijak kepala lembu dan lain-lain telah menyuburkan lagi Islamofobia di Malaysia.
- Kurang Keberkesanan Institusi Agama
Kenyataan menghina undang-undang Islam, mempersoalkan institusi fatwa, memperleceh amalan ibadah umat Islam dan sebagainya membuktikan bahawa terdapat kelemahan yang amat ketara ada pada institusi Islam ini.
- Kemahuan Politik
Kurangnya kemahuan politik dan komitmen yang menafikan keperluan menangani isu Islamofobia dan jika politik mempunyai momentum yang kuat, sudah pasti pelbagai program ke arah membetulkan persepsi negatif terhadap Islam dalam konteks Islamofobia ini akan diadakan di seluruh negara.
- Salah Faham Syariah
Masyarakat di Malaysia tidak mempunyai kefahaman yang baik tentang Islam. Ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang bukan Islam bahkan terjadi pada Muslim juga. Aspek yang sering disalahfaham tentang Islam ialah berkenaan dengan undang-undang hudud, pewarisan dan hak-hak wanita.
- Pengaruh Golongan Fundamentalis
Kemunculan golongan fundamentalist yang militan bahkan mendokong satu matlamat iaitu menghapuskan orang bukan Islam seperti Kumpulan Mujahidin Malaysia telah menyuburkan lagi fenomena Islamofobia.
Islam Dianggap Agama Keganasan
Tuduhan ini mula popular dan semakin mendapat tempat selepas berlakunya peristiwa hitam 11 September 2001 apabila sekumpulan pemuda disyaki beragama Islam merampas kapal terbang penumpang di Amerika Syarikat dan merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York yang menyebabkan lebih 6,000 orang mati. Selepas peristiwa tersebut, berlaku pula beberapa siri letupan bom di seluruh dunia terhadap kepentingan Amerika yang juga disyaki dilakukan oleh beberapa kumpulan pemuda Islam. Bermula daripada peristiwa-peristiwa tersebut, anggapan bahawa Islam merupakan agama yang mengajar keganasan mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bukan Islam seluruh dunia.
Pada zaman keagungan Islam, masyarakat manusia pelbagai agama telah hidup dengan aman dan makmur di bawah pemerintahan Islam. Mereka bukan sahaja menikmati kehidupan yang bahagia sebagai rakyat biasa, malah ada antara mereka yang dilantik sebagai pembesar atau menteri yang diberikan kuasa-kuasa tertentu dalam pemerintahan negara Islam.
Malah, banyak ayat al-Qur’an yang melarang umat Islam daripada bermusuhan dengan orang bukan Islam kecuali jika mereka dahulu yang memulakan permusuhan. Selain itu, Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan contoh yang sangat baik dalam hal ini. Semasa Baginda memerintah negara Islam Madinah, kota Madinah turut didiami oleh orang bukan Islam. Namun, Baginda telah mewujudkan satu kontrak sosial yang dikenali sebagai Piagam Madinah yang menjamin hak-hak orang bukan Islam dalam negara Islam Madinah untuk hidup dengan aman damai dan menjalani ajaran agama mereka tanpa gangguan.
Ajaran al-Qur’an dan petunjuk al-Sunah inilah yang memandu masyarakat Islam dalam membentuk sikap dan hubungan yang baik serta adil dengan masyarakat bukan Islam pada sepanjang sejarah. Dengan itu, beberapa peristiwa yang berlaku mutakhir ini tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa Islam sebagai agama keganasan yang tidak toleran.
Islam Disebarkan Melalui Mata Pedang
Islam juga sering digambarkan sebagai agama yang disebarkan melalui mata pedang iaitu melalui kekerasan dan peperangan. Tuduhan ini juga tidak berasas sama sekali. Al-Quran melarang umat Islam melakukan kekerasan dan peperangan terhadap orang bukan Islam untuk memaksa mereka menerima Islam.
Islam Sumber Kedamaian dan Rasa Aman
Islam adalah sebuah agama yang disampaikan kepada umat manusia untuk menciptakan perdamaian hidup melalui wujud nyata cinta dan kasih sayang Allah yang tak terbatas di muka bumi ini. Sumber ketuhanan agama Islam adalah Al-Quran, yang tertancap pada konsep nilai murni, cinta, kasih sayang, saling menghargai, rela berkorban, saling memahami, dan perdamaian. Seorang muslim yang hidup dengan aturan-aturan tersebut dalam erti yang sesungguhnya, maka ia akan menjadi insan yang sangat beradab, berhati-hati dalam berpikir, sederhana, sopan, mulia, adil, dapat dipercaya, dan mudah dalam bergaul. Ia akan menebarkan cinta, rasa hormat, kerukunan dan kebahagiaan hidup di sekelilingnya.
Pandangan Serong Masyarakat Non-Muslim Terhadap Muslim di Malaysia
- Tidak mempunyai kefahaman yang baik tentang Islam.
- Salah anggapan terhadap undang-undang hudud, pewarisan dan hak-hak wanita terlampau bodoh dan kuno dan sebagainya..
- Salah anggapan terhadap beberapa prinsip Shariah seperti faraid atau pewarisan menyebabkan ramai yang bimbang dan cuba mempertikai ajaran Islam.
- Isu kedudukan wanita dalam Islam yang dilihat oleh orang bukan Islam sebagai menindas juga menjadi faktor Islamofobia di Malaysia.
Tindakan Untuk Mengatasi Salah Faham Terhadap Islam
Dalam Konteks Individu :
- Meningkatkan jati diri
- Mempunyai aura, karisma atau kewibawaan
- Melengkapkan dan tuntutilah diri dengan ilmu semasa, ilmu agama dan ilmu yang bermanfaat.
- Menguasai semua kepakaran ilmu seperti sains, teknologi dan ICT
- Menghayati dan memahami isi-isi kandungan al-Quran dan hadis
Dalam Konteks Masyarakat Dan Negara :
- Meningkatkan keupayaan ekonomi
- Mewujud dan mempekukuhkan lagi kemajuan sains, teknologi dan ICT.
- Membentuk masyarakat dinamik dan proaktif dan saling hormat-menghormati
- Meningkatkan kerjasama sesama negara Islam juga terhadap masyarakat sekeliling
- Menjalinkan hubungan antarabangsa dengan baik dan berkesan
KESIMPULAN
Islam adalah agama perdamaian dan menganjurkan kepada para pemeluknya untuk menyelesaikan konflik secara damai. Jika cara-cara damai ini tidak membuahkan hasil, maka baharulah perang boleh dilancarkan.
Inisiatif bersepadu melalui kerjasama di setiap peringkat menerusi jaringan kerja yang mantap akan dapat memastikan usaha mengatasi Islamofobia dapat dicapai. Segala gerakan, usaha, inisiatif dan program ini merupakan salah satu cabang jihad demi menegakkan Islam di muka bumi ini. Bagi memastikan setiap usaha dakwah ini mencapai matlamatnya, istiqamah, iltizam dan itqan perlu dijadikan teras utama. Sudah sampai masanya semua umat Islam menzahirkan dan mempertontonkan keindahan Islam yang bersifat Rahmatan lil’alamin itu dalam kehidupan.
Akhir sekali, ibu bapa haruslah memainkan peranan untuk mendidik anak-anak menjadi seorang insan yang berguna pada masa hadapan. Bak kata pepatah "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya". Pihak-pihak lain juga mestilah memainkan peranan masing-masing supaya modal insan ini tidak akan mudah terikut dengan anasir-anasir yang negatif di luar sana.
No comments:
Post a Comment